Saturday, October 26, 2013

ENTRI BLOG 3 : OBESITI MENGUNDANG BAHAYA TERHADAP DIRI SENDIRI…

Tahukah anda apa itu obesiti??? Persoalannya adakah obesiti ini jika tidak dikawal akan memberikan kesan yang buruk kepada seseorang atau sebaliknya???
Obesiti boleh ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak yang berlebihan yang terdapat di dalam badan seseorang. Namun kini, obesiti telah dianggap serius oleh orang ramai kerana ianya telah menjadi salah satu penyakit yang boleh menghadkan kegiatan fizikal dan sosial sesorang. Malah bagi mereka yang menghidap obesiti ini mempunyai jangka hayat hidup yang sangat pendek berbanding mereka yang sihat.
Baru-baru ini dalam laporan akhbar menjelaskan bahawa Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang mempunyai bilangan penghidap obesiti yang paling tinggi berbanding negara lain. Untuk pengetahuan semua, obesiti boleh mendatangkan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetis dan kanser. Bilangan sebanyak 16.8 juta penduduk negara kita yang menghidap penyakit ini adalah berpunca daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat serta pemakanan yang tidak seimbang. Kebanyakkan mereka yang menghidap obesiti ini merupakan golongan muda yang berusia lingkungan 18 tahun dan ke atas. Malah terdapat juga sesetengah golongan kanak-kanak yang menghidap kegemukan ini.

Langkah-langkah awal perlu diambil bagi membendung gejala kegemukan ini. Tujuannya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat dan bebas daripada sebarang penyakit. Langkah utama yang perlu dititik-beratkan oleh setiap orang adalah menjaga pemakanan yang seimbang dalam menu seharian mereka. Kita seharusnya perlu memperbanyakkan memakan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tenusu dan bijirin. Makanan ini sebenarnya dapat membantu pertumbuhan dalam badan kita serta memberi kesihatan kepada tubuh badan.
Sebaliknya bagi makanan yang mempunyai kalori yang tinggi atau berkolestrol perlulah dielakkan seperti makanan yang banyak lemak dan gula. Di samping itu, kita perlu kurangkan daripada menggoreng makanan tetapi banyakkan makanan yang direbus dan dibakar. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengawal nafsu makan kita serta membolehkan kita memakan makanan yang seimbang.
Selain  daripada pemakanan yang seimbang, kita perlu juga melakukan senaman. Mengapa kita perlu melakukan senaman sedangkan kita sudahpun mengamalkan pemakanan yang seimbang? Sebenarnya pemakanan yang seimbang juga tidak cukup untuk membolehkan kita terhindar daripada obsesiti. Senaman mempunyai banyak kebaikan kepada kita. Ini kerana membantu badan kita menjadi lebih sihat, kuat dan cergas. Malah bersenam juga menghindarkan tubuh kita daripada dijangkiti sebarang penyakit dan mengelakkan perasaan yang malas.
            Senaman yang dilakukan tidak perlulah dilakukan setiap hari, tetapi cukuplah sekadar 3 kali seminggu dengan tempoh masa 20 hingga 30 minit. Aktiviti senaman yang dilakukan boleh merangkumi berjoging, berbasikal, aerobik, bersukan, berenang dan sebagainya.  Selain itu, misalnya di tempat kerja kita boleh menggunakan tangga yang ada dan elakkan daripada menggunakan lif. Sekiranya kita mengamalkannya setiap hari secara tidak langsung kita telah pun melakukan senaman tanpa kita sedari.
Kesimpulannya, masalah obesiti yang berlaku di negara kita tidak bolehlah dipandang ringan. Hal ini demikian, obsesiti bukanlah perkara baru malah boleh dikatakan setiap negara mempunyai orang yang obsesiti. Justeru itu, setiap orang perlulah mengambil langkah berjaga-jaga serta belajar untuk mengawal nafsu makan. Membuang lemak di dalam badan bukanlah perkara yang mudah kerana usaha ini memerlukan banyak kesabaran dan kesungguhan. Bak kata pepatah “MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI”.

Sumber Rujukan:

Sunday, October 20, 2013

ENTRI BLOG 2 : LALUAN “BERHANTU” GENTING HIGHLANDS......


Genting Highlands atau Tanah Tinggi Genting merupakan tempat peranginan yang terkenal di Malaysia dan merupakan destinasi percutian popular bagi rakyat tempatan dan juga pelancong dari negara seperti Singapura, India, Taiwan, Jepun dan Indonesia.
Genting Highlands juga merupakan satu-satunya tempat KASINO yang dijalankan secara sah di Malaysia. Genting Highlands Resort ini dibina dan diusahakan sepenuhnya oleh Tan Sri Lim Goh Tong.
Walaupun Genting Highlands sering dijadikan destinasi percutian bagi keluarga dan rakan-rakan namun kemalangan sering berlaku iaitu semasa ingin pergi atau selepas pulang dari Genting Highlands. Boleh dikatakan kemalangan yang berlaku di Genting Highlands sering berlaku setiap tahun. Adakah laluan ke Genting Highlands sememangnya BERHANTU” atau sebaliknya??? Berikut merupakan senarai kemalangan yang pernah terjadi di Genting Highlands.
  • 5 Mac 2012 : Dua mati, 20 cedera dalam kemalangan bas.
  •  30 Julai 2011 : 13 cedera selepas bas terbabas ketika turun.
  •  29 Oktober 2010 : Bas tergelincir di Jalan Genting Sempah, Genting Highlands, tujuh terkorban.
  •  16 Jun 2009 : 22 cedera dalam kemalangan bas.
  • 16 Julai 1996 : Sebuah bas yang membawa pekerja kilang dan keluarga mereka bercuti jatuh ke dalam gaung sedalam 120 meter di Km1 Jalan Genting Sempah, Genting. Mengorbankan 17 orang.
  • 30 Jun 1995 : Kejadian tanah runtuh melibatkan kereta dan sebuah bas,mengorbankan 20 orang.
Bak kata pepatah “malang tidak berbau”, pada tanggal 21 Ogos 2013, sekali lagi Malaysia digemparkan dengan nahas kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah bas di Genting Highlands.  Menurut laporan akhbar seramai 37 orang penumpang bas termasuk pemandunya terbunuh. Bas berkenaan difahamkan membawa sebanyak 52 penumpang, bas yang dipandu terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km 3.5 Jalan Genting Highlands. Tragedi ini merupakan kemalangan jalan raya yang terburuk pernah terjadi di Malaysia dengan angka kematian yang paling banyak terkorban. Selain itu, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2.45 petang itu dalam perjalanan pulang balik ke ibu kota (Genting Highlands ke Kuala Lumpur).



Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid berkata:
Berdasarkan pemerhatian, dengan keadaan cerun yang agak menjunam, bas boleh tergelincir ke gaung sekiranya tidak dikawal dengan sempurna. Keadaan fizikal jalan ini menuruni cerun. Memanglah cerun ini agak menjunam, jadi sekiranya ia tidak dikawal dengan sempurna menyebabkan bas tergelincir dan jatuh ke gaung. Ini penilaian awal daripada pihak penyelamat



Selain itu, mengikut sumber, bas yang membawa penumpang seramai 52 orang ini telah pun disenarai hitam oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia. Malah pemandu bas di Genting Highlands juga telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa kerana tidak menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh pihak JPJ. Bas yang membawa para penumpang tersebut merupakan milik Genting Highlands Transport Berhad yang beroperasi di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Bagaimanapun pihak JPJ gagal untuk menghubungi pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengapa bas itu masih digunakan.
Jika kita perhatikan berdasarkan kemalangan-kemalangan yang pernah berlaku sebelum ini semuanya terjadi disebabkan kecuaian manusia sendiri. Namun terdapat juga faktor lain yang menyebabkan kemalangan seperti ini berlaku. Antara faktornya ialah:
Ø  Keadaan bas yang sudah uzur dan tidak diselenggara dengan baik.
( Brek kenderaan yang sudah rosak, tayar botak )
Ø  Keadaan jalan raya yang licin,curam dan bengkang-bengkok.
Ø  Keadaan cuaca yang tidak baik seperti hujan dan berkabus.
Berdasarkan beberapa pendapat daripada orang ramai mengenai punca kemalangan di Genting Highlands ini adalah lebih terdorong kepada keadaan bas yang tidak sesuai digunakan lagi sebagai pengangkutan untuk membawa penumpang. Menurut seorang bekas pemandu bas syarikat berkenaan, Phoon Yun Fatt, 56 tahun berkata :
"Punca nahas dipercayai berpunca dari saluran brek angin bas tersebut telah mengalami kebocoran dan sepatutnya bas tersebut diselenggara dan tidak diarahkan untuk bergerak"




Secara tuntasnya, bagi menghindarkan kadar kemalangan jalan raya di Genting Highlands daripada berulang saban tahun, pihak yang berkenaan perlulah bertanggungjawab untuk memastikan kenderaan yang dipandu oleh pemandu bas adalah dalam keadaan yang selamat. Mereka seharusnya menitik-beratkan ciri-ciri keselamatan tanpa memikirkan keuntungan yang lebih sehingga nyawa penumpang sendiri melayang.
            Selain itu, pihak syarikat perlulah meneliti dahulu latar belakang pemandu mereka. Pemeriksaan berdasarkan rekod pemandu sama ada mempunyai lesen yang sah atau sebaliknya, mempunyai rekod kesalahan lalu-lintas dengan JPJ atau sebagainya bertujuan untuk mengelakkan daripada berlaku kemalangan. Bak kata pepatah “jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah”.

“ BERHATI-HATI DI JALAN RAYA,INGATLAH ORANG YANG TERSAYANG”



Sumber rujukan :

Friday, September 27, 2013

ENTRI BLOG 1 : PENDERAAN KANAK-KANAK : APA DOSA MEREKA???

ALOR SETAR- Penderitaan selama empat bulan, berakhir Rabu lepas apabila pihak polis menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia lima tahun daripada terus menjadi mangsa deraan ibu angkatnya. Hal ini terbongkar sehingga menjadi kes polis selepas salah seorang daripada jiran mangsa membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk melakukan pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati badan dan mata kiri kanak-kanak tersebut lebam-lebam. Lebih memilukan dan menyayat hati apabila kemaluan kanak-kanak itu mempunyai kesan torehan.


Penderaan boleh didefinisikan sebagai dera ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan pada golongan kanak-kanak. Isu penderaan kanak-kanak sudah tidak lagi asing di Malaysia malah isu seperti ini juga disifatkan tiada penghujungnya. Saban hari ada sahaja berita mengenai penderaan kanak-kanak yang dipaparkan di media cetak mahupun media elektronik. Menurut kajian, bilangan kes penderaan kanak-kanak kian meningkat dari semasa ke semasa. Kebiasannya kanak-kanak yang didera berumur lingkungan bawah 12 tahun.
Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, peningkatan dalam penderaan kanak-kanak tahun lalu sebanyak 3831 orang yang menjadi mangsa meningkat kepada 403 orang tahun ini. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata, statistik ini adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kebiasaanya kes yang dilaporkan dan sering diterima oleh pihaknya adalah kes yang melibatkan penderaan fizikal, emosi, seksual termasuk kes kanak-kanak dibuang.



Penderaan fizikal di sini boleh dirujukkan sebagai suatu fenomena sosial yang bermaksud keganasan yang dilakukan secara fizikal. Keganasan yang dilakukan boleh menyebabkan mangsa atau kanak-kanak yang didera akan mengalami kecederaan seperti lebam yang teruk, patah tulang, kecederaan otak,dan sebagainya. Malah kes penderaan yang teruk juga akan membawa kepada maut atau kanak-kanak akan cacat akibat penderaan yang dilakukan.
       Menurut Ammermen dan Hersen (1990), “ faktor tambahan yang memainkan peranan penting dalam mendisplinkan penderaaan fizikal adalah pendekatan disiplin dalam kalangan ibu bapa sendiri.” 

Selain itu, hak perlindungan ke atas kanak-kanak di Malaysia telah pun ditubuh pada tahun 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991. Namun sejajar dengan peredaran semasa dan perkembangan dunia, terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap kanak-kanak iaitu dengan terlaksananya satu akta yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak telah pun digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002.
Kesimpulannya, ibu bapa sebagai orang yang dewasa serta yang telah mempunyai akal fikiran yang matang seharusnya sedar bahawa anak-anak bukanlah barang hiasan atau boneka tidak bernyawa yang boleh diperlakukan sesuka hati. Jangan nanti apabila menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan, nyawa anak sudahpun hilang dan tidak mampu untuk  dikembalikan semula. Bak kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur’.