Sunday, October 20, 2013

ENTRI BLOG 2 : LALUAN “BERHANTU” GENTING HIGHLANDS......


Genting Highlands atau Tanah Tinggi Genting merupakan tempat peranginan yang terkenal di Malaysia dan merupakan destinasi percutian popular bagi rakyat tempatan dan juga pelancong dari negara seperti Singapura, India, Taiwan, Jepun dan Indonesia.
Genting Highlands juga merupakan satu-satunya tempat KASINO yang dijalankan secara sah di Malaysia. Genting Highlands Resort ini dibina dan diusahakan sepenuhnya oleh Tan Sri Lim Goh Tong.
Walaupun Genting Highlands sering dijadikan destinasi percutian bagi keluarga dan rakan-rakan namun kemalangan sering berlaku iaitu semasa ingin pergi atau selepas pulang dari Genting Highlands. Boleh dikatakan kemalangan yang berlaku di Genting Highlands sering berlaku setiap tahun. Adakah laluan ke Genting Highlands sememangnya BERHANTU” atau sebaliknya??? Berikut merupakan senarai kemalangan yang pernah terjadi di Genting Highlands.
  • 5 Mac 2012 : Dua mati, 20 cedera dalam kemalangan bas.
  •  30 Julai 2011 : 13 cedera selepas bas terbabas ketika turun.
  •  29 Oktober 2010 : Bas tergelincir di Jalan Genting Sempah, Genting Highlands, tujuh terkorban.
  •  16 Jun 2009 : 22 cedera dalam kemalangan bas.
  • 16 Julai 1996 : Sebuah bas yang membawa pekerja kilang dan keluarga mereka bercuti jatuh ke dalam gaung sedalam 120 meter di Km1 Jalan Genting Sempah, Genting. Mengorbankan 17 orang.
  • 30 Jun 1995 : Kejadian tanah runtuh melibatkan kereta dan sebuah bas,mengorbankan 20 orang.
Bak kata pepatah “malang tidak berbau”, pada tanggal 21 Ogos 2013, sekali lagi Malaysia digemparkan dengan nahas kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah bas di Genting Highlands.  Menurut laporan akhbar seramai 37 orang penumpang bas termasuk pemandunya terbunuh. Bas berkenaan difahamkan membawa sebanyak 52 penumpang, bas yang dipandu terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km 3.5 Jalan Genting Highlands. Tragedi ini merupakan kemalangan jalan raya yang terburuk pernah terjadi di Malaysia dengan angka kematian yang paling banyak terkorban. Selain itu, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2.45 petang itu dalam perjalanan pulang balik ke ibu kota (Genting Highlands ke Kuala Lumpur).



Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid berkata:
Berdasarkan pemerhatian, dengan keadaan cerun yang agak menjunam, bas boleh tergelincir ke gaung sekiranya tidak dikawal dengan sempurna. Keadaan fizikal jalan ini menuruni cerun. Memanglah cerun ini agak menjunam, jadi sekiranya ia tidak dikawal dengan sempurna menyebabkan bas tergelincir dan jatuh ke gaung. Ini penilaian awal daripada pihak penyelamat



Selain itu, mengikut sumber, bas yang membawa penumpang seramai 52 orang ini telah pun disenarai hitam oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia. Malah pemandu bas di Genting Highlands juga telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa kerana tidak menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh pihak JPJ. Bas yang membawa para penumpang tersebut merupakan milik Genting Highlands Transport Berhad yang beroperasi di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Bagaimanapun pihak JPJ gagal untuk menghubungi pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengapa bas itu masih digunakan.
Jika kita perhatikan berdasarkan kemalangan-kemalangan yang pernah berlaku sebelum ini semuanya terjadi disebabkan kecuaian manusia sendiri. Namun terdapat juga faktor lain yang menyebabkan kemalangan seperti ini berlaku. Antara faktornya ialah:
Ø  Keadaan bas yang sudah uzur dan tidak diselenggara dengan baik.
( Brek kenderaan yang sudah rosak, tayar botak )
Ø  Keadaan jalan raya yang licin,curam dan bengkang-bengkok.
Ø  Keadaan cuaca yang tidak baik seperti hujan dan berkabus.
Berdasarkan beberapa pendapat daripada orang ramai mengenai punca kemalangan di Genting Highlands ini adalah lebih terdorong kepada keadaan bas yang tidak sesuai digunakan lagi sebagai pengangkutan untuk membawa penumpang. Menurut seorang bekas pemandu bas syarikat berkenaan, Phoon Yun Fatt, 56 tahun berkata :
"Punca nahas dipercayai berpunca dari saluran brek angin bas tersebut telah mengalami kebocoran dan sepatutnya bas tersebut diselenggara dan tidak diarahkan untuk bergerak"




Secara tuntasnya, bagi menghindarkan kadar kemalangan jalan raya di Genting Highlands daripada berulang saban tahun, pihak yang berkenaan perlulah bertanggungjawab untuk memastikan kenderaan yang dipandu oleh pemandu bas adalah dalam keadaan yang selamat. Mereka seharusnya menitik-beratkan ciri-ciri keselamatan tanpa memikirkan keuntungan yang lebih sehingga nyawa penumpang sendiri melayang.
            Selain itu, pihak syarikat perlulah meneliti dahulu latar belakang pemandu mereka. Pemeriksaan berdasarkan rekod pemandu sama ada mempunyai lesen yang sah atau sebaliknya, mempunyai rekod kesalahan lalu-lintas dengan JPJ atau sebagainya bertujuan untuk mengelakkan daripada berlaku kemalangan. Bak kata pepatah “jangan sudah terhantuk baru hendak tengadah”.

“ BERHATI-HATI DI JALAN RAYA,INGATLAH ORANG YANG TERSAYANG”



Sumber rujukan :

No comments:

Post a Comment