Saturday, October 26, 2013

ENTRI BLOG 3 : OBESITI MENGUNDANG BAHAYA TERHADAP DIRI SENDIRI…

Tahukah anda apa itu obesiti??? Persoalannya adakah obesiti ini jika tidak dikawal akan memberikan kesan yang buruk kepada seseorang atau sebaliknya???
Obesiti boleh ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak yang berlebihan yang terdapat di dalam badan seseorang. Namun kini, obesiti telah dianggap serius oleh orang ramai kerana ianya telah menjadi salah satu penyakit yang boleh menghadkan kegiatan fizikal dan sosial sesorang. Malah bagi mereka yang menghidap obesiti ini mempunyai jangka hayat hidup yang sangat pendek berbanding mereka yang sihat.
Baru-baru ini dalam laporan akhbar menjelaskan bahawa Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang mempunyai bilangan penghidap obesiti yang paling tinggi berbanding negara lain. Untuk pengetahuan semua, obesiti boleh mendatangkan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetis dan kanser. Bilangan sebanyak 16.8 juta penduduk negara kita yang menghidap penyakit ini adalah berpunca daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat serta pemakanan yang tidak seimbang. Kebanyakkan mereka yang menghidap obesiti ini merupakan golongan muda yang berusia lingkungan 18 tahun dan ke atas. Malah terdapat juga sesetengah golongan kanak-kanak yang menghidap kegemukan ini.

Langkah-langkah awal perlu diambil bagi membendung gejala kegemukan ini. Tujuannya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat dan bebas daripada sebarang penyakit. Langkah utama yang perlu dititik-beratkan oleh setiap orang adalah menjaga pemakanan yang seimbang dalam menu seharian mereka. Kita seharusnya perlu memperbanyakkan memakan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tenusu dan bijirin. Makanan ini sebenarnya dapat membantu pertumbuhan dalam badan kita serta memberi kesihatan kepada tubuh badan.
Sebaliknya bagi makanan yang mempunyai kalori yang tinggi atau berkolestrol perlulah dielakkan seperti makanan yang banyak lemak dan gula. Di samping itu, kita perlu kurangkan daripada menggoreng makanan tetapi banyakkan makanan yang direbus dan dibakar. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengawal nafsu makan kita serta membolehkan kita memakan makanan yang seimbang.
Selain  daripada pemakanan yang seimbang, kita perlu juga melakukan senaman. Mengapa kita perlu melakukan senaman sedangkan kita sudahpun mengamalkan pemakanan yang seimbang? Sebenarnya pemakanan yang seimbang juga tidak cukup untuk membolehkan kita terhindar daripada obsesiti. Senaman mempunyai banyak kebaikan kepada kita. Ini kerana membantu badan kita menjadi lebih sihat, kuat dan cergas. Malah bersenam juga menghindarkan tubuh kita daripada dijangkiti sebarang penyakit dan mengelakkan perasaan yang malas.
            Senaman yang dilakukan tidak perlulah dilakukan setiap hari, tetapi cukuplah sekadar 3 kali seminggu dengan tempoh masa 20 hingga 30 minit. Aktiviti senaman yang dilakukan boleh merangkumi berjoging, berbasikal, aerobik, bersukan, berenang dan sebagainya.  Selain itu, misalnya di tempat kerja kita boleh menggunakan tangga yang ada dan elakkan daripada menggunakan lif. Sekiranya kita mengamalkannya setiap hari secara tidak langsung kita telah pun melakukan senaman tanpa kita sedari.
Kesimpulannya, masalah obesiti yang berlaku di negara kita tidak bolehlah dipandang ringan. Hal ini demikian, obsesiti bukanlah perkara baru malah boleh dikatakan setiap negara mempunyai orang yang obsesiti. Justeru itu, setiap orang perlulah mengambil langkah berjaga-jaga serta belajar untuk mengawal nafsu makan. Membuang lemak di dalam badan bukanlah perkara yang mudah kerana usaha ini memerlukan banyak kesabaran dan kesungguhan. Bak kata pepatah “MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI”.

Sumber Rujukan:

No comments:

Post a Comment